KEJAYAAN 17 ) BASMI TONTO : UTUSAN MALAYSIA - 19/1/16 - KDN HARUS BERTINDAK TERHADAP TONTO

NADZIM JOHAN (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Amir Hamzah Mohd. (dua dari kiri) sambil diperhatikan Husainay Hashim (tiga dari kanan) dan Hamzah Masri (tiga dari kiri) selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur.



Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan yang berkesan perlu diambil kerana perbuatan tonto yang cuba melin­dungi kegiatan jenayah telah berlarutan sehinggakan ramai penguat kuasa menjadi mangsa keganasan mereka.

“Sehingga kini, mereka yang terlibat dalam menterbalikkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga terbakar dalam satu kejadian di Sitiawan, Perak dua tahun lalu masih belum dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Terbaharu, sepasukan anggota JPJ diganggu ketika bertugas di Kapar, Klang selain menerima ancaman daripada tonto. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan, pihak kementerian perlu melakukan sesuatu, bukan sahaja demi keselamatan penguat kuasa malah keselamatan orang awam juga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Penasihat Khas PPIM, Datuk Husainay Hashim; Penasihat PPIM, Datuk Seri Amir Hamzah Mohd. dan Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri.

Menurut Nadzim, jika pihak kementerian terus mengambil mudah terhadap ancaman tonto, tidak mustahil kumpulan itu akan menjadi semakin berani dan terus berkembang.

“Percayalah, kalau tiada apa-apa tindakan dari sekarang, 10 tahun lagi mereka akan menjadi lebih besar dan kuat. Waktu itu kita mungkin sudah tidak boleh buat apa lagi, kedaulatan negara ini seolah-olah berada di tangan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah me­minta kerajaan menilai semula kuasa yang diberikan kepada penguat kuasa khususnya JPJ bagi membolehkan mereka menjalankan tugas pada tahap maksimum.

Beliau berkata, sudah tiba masanya penguat kuasa JPJ diberi kuasa menangkap dan mendakwa sendiri pesalah jalan raya terutama tonto.

“Kalau boleh satu pindaan atau kuasa diberi kepada JPJ. Sekiranya diekori oleh tonto, mereka boleh ditahan untuk diambil tindakan.

“Ini demi keselamatan semua, apabila kita lemah dalam penguatkuasaan, itu yang ada lori hantu keluar kawasan, lori yang bawa lebih muatan dan sebagainya, itu semua akan mengancam nyawa orang awam,” ujarnya.



HAMZAH (tiga dari kanan) ketika sidang media Tonto Paling Berkuasa di Sembang Sembang Cafe Villa Putri, Kuala Lumpur.


Kuala Lumpur: “Kapar Klang, bermula dari pukul 2 petang, tak mau angkat barang berat. Tolong panjang-panjangkan. Anggota JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) 307 kena pukul dengan escort. Tolong viralkan, operasi kaw-kaw.”

Begitu bunyi pesanan suara milik seorang tonto yang menyerang pegawai penguat kuasa JPJ ketika menjalankan tugas selain mengancam keselamatan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, sepasukan penguat kuasa sedang memantau pergerakan kenderaan berat keluar masuk di Kapar, Klang, didatangi tonto kemudiannya melakukan provokasi menghalang pegawai terbabit menjalankan tugas.

Mendedahkan perkara itu menerusi satu sidang media khas semalam, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri berkata, itu antara cabaran diterima pihaknya dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya di negara ini.

Katanya, bukan itu saja, pelbagai helah licik digunakan sindiket termasuk mengubah suai sistem lori, memantau pergerakan anggota dan penguat kuasa JPJ serta mengekori mereka pulang ke rumah dengan niat memberikan ancaman.

Katanya, KPPJSM meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberi lebih kuasa dan ruang kepada pegawai penguat kuasa semua agensi khususnya JPJ bagi membolehkan mereka menjalankan tugas pada tahap paling maksimum.

“Kita juga minta supaya kuasa menahan, mendakwa dan menangkap jika diekori diperuntukkan bagi memastikan anggota kita sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan dan bertugas dengan lebih baik,” katanya pada satu sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.

Hadir sama Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, Pengerusi Yayasan Patriot Negara (YPNM) Datuk Husainy Hashim dan Pengasas Eratkan Pertubuhan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO) Ariffin Abu Bakar.

Comments