KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak gentar dengan ugutan sindiket perjudian yang tergugat dengan pendedahan dibuat NGO itu.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, malah pihaknya tidak akan berganjak dalam usaha membasmi sindiket perjudian haram yang bertapak di negara ini sejak sekian lamanya.
Menurutnya, ini peluang terbaik buat rakyat Malaysia untuk melihat kegiatan perjudian haram dapat dihentikan secara besar-besaran.
“Kita tak gentar dengan ancaman, malah sedia pertaruh nyawa. Saya mohon doa dan sokongan masyarakat supaya beri kekuatan serta sokongan kepada pihak berkuasa.
“Dengan kesungguhan pihak berkuasa, saya yakin dan percaya kegiatan ini dapat dibasmi sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, semalam.
Mengulas lanjut pendedahan terbaru sindiket berkenaan yang dikaitkan dengan 9 Dragons, Nadzim berkata, sindiket berkenaan telah mengadakan perjumpaan berikutan rasa tidak senang terhadap campur tangan yang dibuat persatuannya terhadap urus niaga mereka.
“Saya dimaklumkan mesyuarat ini diadakan di Selangor dan Kuala Lumpur, yang dihadiri lima atau enam ketua kumpulan yang mengetuai sindiket berkenaan.
“Mereka adakan mesyuarat kerana rasakan periuk nasi terganggu dengan campur tangan PPIM terhadap bisnes mereka,” katanya.
Sementara itu, Nadzim turut mengakui dihubungi polis berhubung pendedahan aktiviti perjudian berkenaan sebelum ini.
“Insya-ALLAH, saya akan ke Bukit Aman minggu depan untuk memberikan keterangan,” katanya.
Beberapa hari lalu, Nadzim mendakwa, sindiket perjudian haram di Malaysia dikawal oleh individu seramai sembilan orang dikenali sebagai 9 Dragons.
Beliau dakwa sistem itu telah lama diamal kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan mereka yang berada dalam agensi penguat kuasa ‘dibeli’ bagi melicinkan kerja kotor mereka.
KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan orang ketua atau digelar ‘dragon’ sejak bertahun-tahun lamanya.
Malah, kumpulan sembilan dragon itu mampu mengutip sebanyak RM5 bilion sebulan hasil daripada pusat perjudian seluruh negara melalui sistem hierarki yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan (gambar) mendakwa, sistem sembilan dragon itu telah lama diamalkan oleh kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan semuanya mempunyai kuasa di dalam agensi penguat kuasa di negara ini.
Malah, dakwa beliau, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk menukarkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.
Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang ‘perlindungan’.
“Rangkaian tersebut bermula apabila pihak berkuasa atau individu berkepentingan di negara ini duduk semeja dengan kumpulan dragon untuk meminta bantuan.
“Mereka kemudian tersepit apabila dragon mula meminta bantuan untuk melindungi kegiatan haram, tetapi perlu menurut kerana pernah menerima bantuan dahulu,” dakwanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Menurut Nadzim, undang-undang yang terdapat dalam sistem dragon iaitu, pengkhianat akan ditembak mati menyebabkan pihak berkuasa terlibat tidak berani melawan dan terpaksa akur dengan permintaan kumpulan tersebut walaupun ia bercanggah dengan kedaulatan negara.
Mengulas mengenai sistem dragon berkenaan, Nadzim memberitahu, hierarki itu telah wujud sejak sekian lama, bahkan ia mempunyai hubungan dengan kumpulan lain di luar negara termasuk Hong Kong, China dan beberapa negara lain bagi menjalankan aktiviti mereka.
Ujar beliau, terdapat juga beberapa individu ternama di negara ini yang berjaya menduduki tahap tertinggi dalam sistem rangkaian antarabangsa itu.
“Jika sebelum ini ada pendedahan mengenai individu bernama Alex, dia juga adalah anggota kepada sembilan dragon berkenaan yang memakai gelaran dragon nombor lima yang mempunyai hubungan kuat dengan orang ‘besar’ di negara ini.
“Saya difahamkan terdapat sembilan dragon utama, jika mungkin ada tambahan saya tidak pasti, tetapi kesemua mereka mempunyai gelaran Tan Sri dan Datuk Seri yang dibeli untuk mengaburi kegiatan sebenar mereka,” katanya.
Mereka yang mempunyai gelaran itu turut sinonim dengan pelbagai perniagaan di negara ini dan berjaya mengutip lebih RM5 bilion sebulan hasil daripada perjudian.
Menurutnya, wang tersebut dikumpul daripada seluruh negara dan akan diagihkan kepada syarikat-syarikat yang ditubuhkan bagi mencuci wang haram itu untuk mengelakkan ia mudah dikesan.
Tambahnya, dengan wang yang banyak itu, ia akan memudahkan mereka menjalankan kegiatan haram termasuk membayar wang perlindungan kepada pihak berkuasa serta siapa-siapa yang mengganggu perjalanan perniagaan mereka.
“Disebabkan sistem yang berkesan dan bantuan teknologi terkini, wang tersebut sukar untuk dilarikan oleh mana-mana pekerja kerana takut akan dibunuh oleh anggota sembilan dragon tersebut,” jelasnya.





Comments
Post a Comment