“Selamatkan Generasi
Akan Datang”
Isu dan aduan berkenaan status halal dan keselamatan produk
merupakan isu yang berterusan dan semakin mendapat perhatian di kalangan
masyarakat. Keresahan dan keraguan semakin menjadi-jadi apabila kes-kes serbuan
dan pemantauan mendapati masih banyak produk-produk syubahah yang berada
dipasaran hari ini. Tambahan pula produk yang tidak diketahui statusnya semakin
membanjiri pasaran terutama barangan yang merasaskan bahan-bahan impot dan
bahan kitar semula.
Tanggungjawab memilih makanan yang bersih, selamat, suci dan
jauh daripada unsur- unsur meragukan atau syubhah apatah lagi makanan yang
haram bukan sahaja terpikul dibahu pengguna semata-mata, malah para pengeluar
dan pengilang juga perlu memikul tanggung jawab ini.
Sesungguhnya pemakanan yang halal dan selamat akan menjadikan
seseorang manusia itu sihat fizikal dan mental serta memiliki keperibadian yang
luhur. Namun sejauh manakah kesedaran ini wujud dalam diri kita sebagai seorang
pengguna dalam pemilihan dan cara pemakanan untuk memastikan ianya halal dan
selamat? Perlu diingat bahawa mencari yang halal itu wajib bagi setiap umat
Islam. Malah apa yang halal dan baik itu bukan sahaja bermanafaat kepada Muslim
sahaja, malah seluruh umat manusia.
“Selamatkan Generasi
Akan Datang” merupakan
antara agenda utama Kempen Kesedaran Pemakanan Halal dan Selamat anjuran
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Sesungguhnya adalah mustahil untuk kita
menjadi sebuah negara maju yang masih mengekalkan nilai – nilai murni sekiranya
generasi akan datang kita dibiarkan bergelumang dengan pemakanan yang meragukan
status halal haramnya. Ini kerana pemakanan yang tidak halal dan tidak selamat
akan melahirkan generasi pemalas, kurang sopan, tidak produktif, jauh dari
agama dan mudah terlibat dengan pelbagai anasir yang tidak sihat.
Atas rasa tanggungjawab dan prihatin, pihak PPIM memberi kesedaran kepada setiap pengguna Islam tentang tanggungjawab diri
sendiri untuk memilih cara pemakanan halal dan selamat serta memperjuangkan hak
kepenggunaan Islam.
Di samping itu, ini juga bertujuan untuk memberikan
kesedaran kepada pihak pengeluar, pembekal dan peniaga agar lebih
bertanggungjawab tentang tuntutan Islam
dalam aspek kepenggunaan seterusnya menjadi pemangkin kepada perkembangan
ekonomi umat Islam khasnya dan ekonomi Malaysia amnya.
Kita perlu bersama-sama mencari dan
menyebarluaskan penyelesaian kepada setiap permasalahan kepenggunaan Islam
melalui aktiviti – aktivit terancang dan proaktif bagi melahirkan generasi
Islam yang lebih produktif, sihat dan melahirkan modal insan terbaik bagi
kemajuan negara.
Fabrik keprihatinan umat Islam di Malaysia yang mementingkan kesucian dalam
keselamatan pemakanan, alam sekitar dan rezeki yang diperoleh perlu diteruskan
dengan kempen yang berterusan dan berinformatif dalam arus pembangunan negara
dengan cara yang lebih positif dan bijaksana.
Kesedaran ini membantu para pengguna Islam agar tidak mudah terperdaya
dan tertipu dengan pelbagai iklan serta promosi produk kegunaan harian dan
makanan serta minuman yang hanya bergantung kepada populariti jenama sedangkan
pembuatan dan penghasilannya tidak diketahui status halal dan kesuciannya. Penjagaan
status dan kedudukan sesetengah individu Islam dengan memiliki barang berjenama
tanpa menitikberatkan persoalan halal dan selamat adalah sangat membimbangkan
di kalangan masyarakat kita hari ini.
Justeru itu, bagi
mencapai hasrat murni berkenaan,
kerjasama semua pihak sangat-sangat
diperlukan agar ianya dapat membantu usaha pihak PPIM mencapai
objektif sebenar penubuhannya.
Semoga dengan usaha ikhlas ini, hidup kita
akan sentiasa mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah SWT.
“Halaalan Toyyiban.. Selamatkan Generasi Akan
Datang…”
"BERSAMA KEMBALIKAN HAK DAN MARUAH DENGAN BIJAKSANA"
Comments
Post a Comment