KEJAYAAN 5) ISU PRODUK HARAM DAN SYUBHAH



PPIM tetap dakwa sosej keluaran dua buah kilang tidak sah

 29 Mar 2005, 6:39 pm      29 Jan 2008, 6:21 pm
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tetap dengan pendirian bahawa sosej yang dikeluarkan Syarikat Muller Sausage Haus Sdn Bhd dan Pacific Refrigerating Sdn bhd adalah tidak halal di sisi agama Islam.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman berkata, isu utama yang dipertikaikan ialah mengenai penggunaan 'natural casing' dalam industri pembuatan sosej, tidak mengira sama ada ia dibuat dari babi ataupun binatang lain seperti kambing biri-biri.
"Berdasarkan kenyataan Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), membuktikan bahawa penggunaan 'natural casing' ini adalah tidak diiktiraf dan boleh diragui status halalnya bagi digunakan oleh orang Islam," katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan jabatan tersebut bertarikh 11 Mei, 2004 yang menyatakan JPH tidak pernah mengiktiraf sarung atau kulit sosej yang diimport sebagai halal untuk dimakan oleh umat Islam.
Ketua Unit Pemeriksaan Veterinar, JPH, Dr Zaliha Abdullah dalam kenyataan tersebut berkata, tidak ada loji di luar negara yang membekalkan 'natural casing' bagi sosej disahkan halal oleh Malaysia.
Kata Dr Zaliha, tiada satupun loji di luar negara yang diiktiraf halal oleh Kerajaan Malaysia bagi membekalkan 'natural casing'.
Ini, kata Dr Maamor bermakna Syarikat Muller Sausage Haus Sdn Bhd dan Pacific Refrigerating Sdn Bhd kedua-duanya beroperasi di Selayang mengeluar sosej yang tidak halal.
"Malah tempoh sah logo halal kilang Muller Sausage Haus telah tamat pada 28 Januari tahun lalu sedangkan kilang tersebut masih mengeluarkan sosej ketika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan PPIM membuat serbuan pada 14 Mac lalu.
"Ini bermakna kilang tersebut mengeluarkan sosej tanpa mendapat kebenaran menggunakan logo halal Jais selama 14 bulan," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Maamor menegas demikian sebagai mengulas keputusan analisis contoh sosej yang dirampas dari dua kilang tersebut di Selayang, mendapati tiada sebarang bahan berasaskan babi dalam pembuatannya.
Beliau berkata, PPIM mendapat maklumat dari orang ramai mengenai sosej yang dikeluarkan oleh kilang tersebut enam bulan lalu dan pihaknya telah menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.
Raja-Raja Melayu
Dr Maamor berkata, pada masa yang sama pengurusan kilang Muller Sausage Haus membuat permohonan mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetapi ditolak.
Katanya, Jais menarik balik sijil halal Muller Sausage Haus kerana didapati menipu dengan mengatakan mereka menggunakan sarung sintetik sedangkan yang sebenarnya ialah 'natural casing'.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'biadap' kerana telah menipu pengguna Islam di seluruh negara.
Fasa 152 Perlembagaan Negara mengatakan agama Islam adalah hak Raja-Raja Melayu dan ini bermakna mereka telah menghina institusi Raja-Raja Melayu, katanya lagi.
Dr Maamor berkata, PPIM akan terus memantau pengeluaran sosej di seluruh negara sebagai memenuhi tanggungjawabnya kepada pengguna Islam di Malaysia.
"Kami tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan dan ugutan supaya memberhertikan pemantauan tersebut," katanya.
Beliau berkata, produk makanan yang berasaskan ternakan mesti mendapat kelulusan JPH terlebih dahulu sebelum melalui proses pengeluaran sijil halal oleh Jakim pihak berkuasa agama negeri.
Pada masa sama beliau mendesak pihak berkuasa mewujudkan Akta Halal bagi melindungi kepentingan pengguna Islam di negara ini dan mengelak daripada masalah ini terus berlaku.
Di samping itu, Dr Maamor juga menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna supaya mengumumkan segera senarai nama produk halal serta nama syarikat yang diluluskan menggunakan tanda halal.

Comments